Tuesday, April 3, 2012

AMIN Iktiraf Peranan Media Islam

AMIN iktiraf peranan media
(Utusan Malaysia, 27 Mac 2008)

SESUATU yang tidak dapat dinafikan adalah peranan media dalam pembangunan negara adalah sangat mustahak. Dalam konteks dakwah Islamiah pada hari ini, media telah memainkan peranan yang cukup penting.

Sehubungan itu, suatu pengiktirafan dalam bentuk penghargaan perlu diberikan kepada mereka yang telah berkorban jiwa raga dalam industri media Islam.

Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat kali keduanya meneruskan usaha yang dilakukan mulai tahun lepas. Jakim sekali lagi pada tahun ini mengadakan Anugerah Media Islam Negara (AMIN) untuk diberi kepada para pengamal media.

Antara syarat pencalonan ialah mesti warganegara Malaysia tanpa mengira bangsa atau jantina dan masih hidup semasa pencalonan. Bagi kategori penerbit media penyiaran (radio, tv dan drama), media cetak dan media web calon terbuka kepada yang beragama Islam dan bukan Islam. Bagi kategori individu, calon mestilah yang beragama Islam.

Calon yang layak menyertai anugerah ini termasuklah organisasi, institusi, syarikat, pertubuhan dan individu yang terlibat secara langsung dalam kegiatan penyiaran, penerbitan dan penulisan mengenai Islam.

Bagi syarat-syarat produk atau karya pula, ia mestilah diterbitkan dalam tahun 2007. Produk atau karya yang dinilai ialah karya asli, bukannya karya. terjemahan. Ia juga mestilah relevan dengan aspirasi negara yang memberi sumbangan kepada kemajuan Islam, ummah dan negara serta tidak memaparkan isu-isu sensitif atau kontroversi dari segi budaya dan agama masyarakat Malaysia. Produk atau karya yang dinilai ialah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja.

Seterusnya, bagi pencalonan bagi kategori radio, TV dan drama, bahan hendaklah dikemukakan dalam bentuk cakera padat video (VCD), cakera padat digital (DVD), cakera padat (CD) atau bentuk-bentuk lain yang sesuai sebanyak dua salinan untuk setiap kategori berserta skrip/sinopsis.

Pencalonan bagi kategori media cetak hendaklah disertakan dokumen atau salinan naskhah mengikut kategori yang ditetapkan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah:

* Penerbit Akhbar Terbaik,

* Penerbit Terbitan Berkala Terbaik,

* Penerbit Buku Terbaik,

* Penulis Rencana Terbaik, dan

* Penulis Buku Terbaik.

* Bagi tahun ini satu kategori ditambah iaitu anugerah Penulis Terbilang.

Bagi anugerah Penerbit Akhbar Terbaik, bukti penerbitan yang dikehendaki adalah seperti senarai judul ruangan, perkiraan luas ruangan, kekerapan dan sebagainya berserta contoh atau salinan yang berkaitan. Bagi anugerah Penerbit Terbitan Berkala Terbaik, ia dinilai dari segi keaktifan: bukti kuantiti penerbitan seperti katalog dan sebagainya.

Seterusnya dalam konteks anugerah Penerbit Buku Terbaik pula, penilaiannya pula dari segi keaktifan, bukti kuantiti penerbitan seperti katalog dan sebagainya. Untuk kategori Penulis Rencana Terbaik, badan penilai akan melihat dari segi keaktifan: senarai penulisan rencana yang diterbitkan berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Fokus penilaian dari segi kualiti ialah dua rencana yang disiarkan dalam mana-mana penerbitan di dalam atau luar negara berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Bagi Penulis Buku Terbaik pula, badan penilaian akan menghakimi dari segi keaktifan, senarai buku yang dihasilkan berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Dalam hal ini calon juga dinilai dari segi kualiti berasaskan kepada dua naskhah setiap judul buku dan tidak melebihi tiga judul.

Untuk kategori yang baru pertama kali diperkenalkan pada tahun ini, Penulis Terbilang, para hakim yang akan menilai setiap pencalonan dari segi keaktifan: senarai karya yang dihasilkan berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Media massa

Syarat individu yang dicalonkan bagi kategori Anugerah Perdana Media Islam, hendaklah meliputi perkara-perkara yang ditetapkan penganjur. Antaranya, kegiatan calon tersebut dalam bidang media massa berunsur Islam dan ia menyumbang kepada perkembangan media massa berunsur Islam.

Apa yang dititik beratkan ialah penglibatan calon tersebut memberi sumbangan besar dan signifikan kepada kemajuan ummah dan negara dalam bidang media massa.

Para pemenang akan menerima hadiah trofi, hadiah iringan, wang tunai dan sijil penghargaan dalam satu majlis yang akan dimaklumkan kemudian.

Tarikh tutup pencalonan ialah pada 31 Mac 2008.

Dalam hal ini, peranan Utusan Malaysia sebagai media massa arus perdana dalam mengembangkan syiar bahasa al-Quran memang patut dipuji. Sepanjang tahun 2007 umpamanya, hanya akhbar Utusan Malaysia sahaja yang menyediakan ruangan khas berkaitan bahasa al-Quran.

Bayangkan tiga hari diperuntukkan untuk siri belajar bahasa al-Quran. Tiga hari tersebut ialah hari Khamis (Kenali Bahasa Al-Quran-teori), hari Jumaat (Kenali Bahasa Al-Quran-praktikal) dan Isnin (Bahasa Arab j-QAF). Manakala akhbar arus perdana yang lain sama ada bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil masih belum menyediakan ruang untuk bahasa al-Quran.

Setakat hari ini, sambutan tentang siri Kenali Bahasa al-Quran Utusan ini sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sokongan dan pandangan dari pelbagai pihak menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas, panggilan telefon dan maklum balas blog (http://drarabic.blogspot.com) sememangnya sangat baik.

Ia berjaya menyuntik semangat untuk terus berjuang agar kemanisan bahasa al-Quran ini dapat dirasai bersama.

Ini selaras dengan sabda baginda, “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Jadi, bahasa Arab perlu dikembangkan bukan sekadar orang Islam tetapi kepada sekelian makhluk bernama manusia.

Sehubungan itu, peranan media sangat penting untuk menguar-uarkan kewajipan mempelajari bahasa ini.

Selain itu, perjuangan akhbar Utusan dalam mengembangkan tulisan Jawi juga perlu sokongan pelbagai pihak sama ada dalam bentuk moral mahupun material. Setiap pihak memang dialu-alukan untuk sama-sama membantu agar perjuangan memelihara warisan bangsa berjaya mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Jika kita perhatikan juga, ruangan agama di akhbar Utusan Malaysia juga disiarkan setiap hari. Secara umumnya ruangan agama disiarkan dalam bentuk yang boleh menarik minat para pembaca.

Kebiasaannya ia disiarkan dalam bentuk berwarna-warni dengan pelbagai hiasan menarik. Ini berbeza dengan akhbar lain yang kebanyakannya masih lagi dalam bentuk hitam putih.

Pada anugerah AMIN kali pertama pada tahun lepas, para pejuang bahasa al-Quran di Malaysia merasa gembira dan sama-sama menumpang rasa bangga apabila salah satu anugerah berjaya diraih. Anugerah tersebut ialah penyampai radio terbaik yang dimenangi oleh Mona Jasman dari Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) menerusi Dun-yal Atfal (Dunia Kanak-kanak versi Bahasa Arab).

Beliau yang cuba mempromosikan bahasa Arab melalui pelbagai rancangan di radio merupakan suatu usaha murni yang perlu diteruskan. Antara program bahasa Arab yang popular ialah Haiya Bil Arabiah, Durus Arabiah, Ihda', al-Anba, Arabiyyah fi kulli makan dan lain-lain. Kini, semakin ramai deejay di IKIM.fm seperti Khairuddin Mohammad, Syariah Abbas, Zamri Zainal Abidin dan lain-lain turut berbicara dalam bahasa Arab. Sehubungan itu, sokongan daripada para pendengar memang sangat diharapkan dan boleh dihantar melalui e-mel: arab@ikim.gov.my.

Dalam hal ini, penulis turut tumpang gembira dengan kejayaan beliau. Ini kerana penulis sebagai tetamu rancangan dan beliau sebagai penerbit rancangan telah sama-sama menjayakan program Haiya Bil Arabiah. Program selama setahun bermula Julai 2006 hingga Jun 2007 tersebut telah menghasilkan 250 siri belajar Bahasa Arab dalam 50 CD.

Tanpa mengira siapa yang akan memperoleh anugerah AMIN pada tahun ini, usaha Jakim ini adalah untuk memartabatkan media berunsur Islam di negara kita.

Semoga penerima anugerah sama ada individu mahupun organisasi akan menjadikannya sebagai pemangkin untuk terus berjuang. Amin ya rabbal alamin.

No comments:

Post a Comment