Tuesday, April 3, 2012

AMIN Iktiraf Peranan Media Islam

AMIN iktiraf peranan media
(Utusan Malaysia, 27 Mac 2008)

SESUATU yang tidak dapat dinafikan adalah peranan media dalam pembangunan negara adalah sangat mustahak. Dalam konteks dakwah Islamiah pada hari ini, media telah memainkan peranan yang cukup penting.

Sehubungan itu, suatu pengiktirafan dalam bentuk penghargaan perlu diberikan kepada mereka yang telah berkorban jiwa raga dalam industri media Islam.

Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat kali keduanya meneruskan usaha yang dilakukan mulai tahun lepas. Jakim sekali lagi pada tahun ini mengadakan Anugerah Media Islam Negara (AMIN) untuk diberi kepada para pengamal media.

Antara syarat pencalonan ialah mesti warganegara Malaysia tanpa mengira bangsa atau jantina dan masih hidup semasa pencalonan. Bagi kategori penerbit media penyiaran (radio, tv dan drama), media cetak dan media web calon terbuka kepada yang beragama Islam dan bukan Islam. Bagi kategori individu, calon mestilah yang beragama Islam.

Calon yang layak menyertai anugerah ini termasuklah organisasi, institusi, syarikat, pertubuhan dan individu yang terlibat secara langsung dalam kegiatan penyiaran, penerbitan dan penulisan mengenai Islam.

Bagi syarat-syarat produk atau karya pula, ia mestilah diterbitkan dalam tahun 2007. Produk atau karya yang dinilai ialah karya asli, bukannya karya. terjemahan. Ia juga mestilah relevan dengan aspirasi negara yang memberi sumbangan kepada kemajuan Islam, ummah dan negara serta tidak memaparkan isu-isu sensitif atau kontroversi dari segi budaya dan agama masyarakat Malaysia. Produk atau karya yang dinilai ialah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja.

Seterusnya, bagi pencalonan bagi kategori radio, TV dan drama, bahan hendaklah dikemukakan dalam bentuk cakera padat video (VCD), cakera padat digital (DVD), cakera padat (CD) atau bentuk-bentuk lain yang sesuai sebanyak dua salinan untuk setiap kategori berserta skrip/sinopsis.

Pencalonan bagi kategori media cetak hendaklah disertakan dokumen atau salinan naskhah mengikut kategori yang ditetapkan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah:

* Penerbit Akhbar Terbaik,

* Penerbit Terbitan Berkala Terbaik,

* Penerbit Buku Terbaik,

* Penulis Rencana Terbaik, dan

* Penulis Buku Terbaik.

* Bagi tahun ini satu kategori ditambah iaitu anugerah Penulis Terbilang.

Bagi anugerah Penerbit Akhbar Terbaik, bukti penerbitan yang dikehendaki adalah seperti senarai judul ruangan, perkiraan luas ruangan, kekerapan dan sebagainya berserta contoh atau salinan yang berkaitan. Bagi anugerah Penerbit Terbitan Berkala Terbaik, ia dinilai dari segi keaktifan: bukti kuantiti penerbitan seperti katalog dan sebagainya.

Seterusnya dalam konteks anugerah Penerbit Buku Terbaik pula, penilaiannya pula dari segi keaktifan, bukti kuantiti penerbitan seperti katalog dan sebagainya. Untuk kategori Penulis Rencana Terbaik, badan penilai akan melihat dari segi keaktifan: senarai penulisan rencana yang diterbitkan berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Fokus penilaian dari segi kualiti ialah dua rencana yang disiarkan dalam mana-mana penerbitan di dalam atau luar negara berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Bagi Penulis Buku Terbaik pula, badan penilaian akan menghakimi dari segi keaktifan, senarai buku yang dihasilkan berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Dalam hal ini calon juga dinilai dari segi kualiti berasaskan kepada dua naskhah setiap judul buku dan tidak melebihi tiga judul.

Untuk kategori yang baru pertama kali diperkenalkan pada tahun ini, Penulis Terbilang, para hakim yang akan menilai setiap pencalonan dari segi keaktifan: senarai karya yang dihasilkan berserta bukti yang boleh diterima atau disahkan.

Media massa

Syarat individu yang dicalonkan bagi kategori Anugerah Perdana Media Islam, hendaklah meliputi perkara-perkara yang ditetapkan penganjur. Antaranya, kegiatan calon tersebut dalam bidang media massa berunsur Islam dan ia menyumbang kepada perkembangan media massa berunsur Islam.

Apa yang dititik beratkan ialah penglibatan calon tersebut memberi sumbangan besar dan signifikan kepada kemajuan ummah dan negara dalam bidang media massa.

Para pemenang akan menerima hadiah trofi, hadiah iringan, wang tunai dan sijil penghargaan dalam satu majlis yang akan dimaklumkan kemudian.

Tarikh tutup pencalonan ialah pada 31 Mac 2008.

Dalam hal ini, peranan Utusan Malaysia sebagai media massa arus perdana dalam mengembangkan syiar bahasa al-Quran memang patut dipuji. Sepanjang tahun 2007 umpamanya, hanya akhbar Utusan Malaysia sahaja yang menyediakan ruangan khas berkaitan bahasa al-Quran.

Bayangkan tiga hari diperuntukkan untuk siri belajar bahasa al-Quran. Tiga hari tersebut ialah hari Khamis (Kenali Bahasa Al-Quran-teori), hari Jumaat (Kenali Bahasa Al-Quran-praktikal) dan Isnin (Bahasa Arab j-QAF). Manakala akhbar arus perdana yang lain sama ada bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil masih belum menyediakan ruang untuk bahasa al-Quran.

Setakat hari ini, sambutan tentang siri Kenali Bahasa al-Quran Utusan ini sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sokongan dan pandangan dari pelbagai pihak menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas, panggilan telefon dan maklum balas blog (http://drarabic.blogspot.com) sememangnya sangat baik.

Ia berjaya menyuntik semangat untuk terus berjuang agar kemanisan bahasa al-Quran ini dapat dirasai bersama.

Ini selaras dengan sabda baginda, “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Jadi, bahasa Arab perlu dikembangkan bukan sekadar orang Islam tetapi kepada sekelian makhluk bernama manusia.

Sehubungan itu, peranan media sangat penting untuk menguar-uarkan kewajipan mempelajari bahasa ini.

Selain itu, perjuangan akhbar Utusan dalam mengembangkan tulisan Jawi juga perlu sokongan pelbagai pihak sama ada dalam bentuk moral mahupun material. Setiap pihak memang dialu-alukan untuk sama-sama membantu agar perjuangan memelihara warisan bangsa berjaya mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Jika kita perhatikan juga, ruangan agama di akhbar Utusan Malaysia juga disiarkan setiap hari. Secara umumnya ruangan agama disiarkan dalam bentuk yang boleh menarik minat para pembaca.

Kebiasaannya ia disiarkan dalam bentuk berwarna-warni dengan pelbagai hiasan menarik. Ini berbeza dengan akhbar lain yang kebanyakannya masih lagi dalam bentuk hitam putih.

Pada anugerah AMIN kali pertama pada tahun lepas, para pejuang bahasa al-Quran di Malaysia merasa gembira dan sama-sama menumpang rasa bangga apabila salah satu anugerah berjaya diraih. Anugerah tersebut ialah penyampai radio terbaik yang dimenangi oleh Mona Jasman dari Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) menerusi Dun-yal Atfal (Dunia Kanak-kanak versi Bahasa Arab).

Beliau yang cuba mempromosikan bahasa Arab melalui pelbagai rancangan di radio merupakan suatu usaha murni yang perlu diteruskan. Antara program bahasa Arab yang popular ialah Haiya Bil Arabiah, Durus Arabiah, Ihda', al-Anba, Arabiyyah fi kulli makan dan lain-lain. Kini, semakin ramai deejay di IKIM.fm seperti Khairuddin Mohammad, Syariah Abbas, Zamri Zainal Abidin dan lain-lain turut berbicara dalam bahasa Arab. Sehubungan itu, sokongan daripada para pendengar memang sangat diharapkan dan boleh dihantar melalui e-mel: arab@ikim.gov.my.

Dalam hal ini, penulis turut tumpang gembira dengan kejayaan beliau. Ini kerana penulis sebagai tetamu rancangan dan beliau sebagai penerbit rancangan telah sama-sama menjayakan program Haiya Bil Arabiah. Program selama setahun bermula Julai 2006 hingga Jun 2007 tersebut telah menghasilkan 250 siri belajar Bahasa Arab dalam 50 CD.

Tanpa mengira siapa yang akan memperoleh anugerah AMIN pada tahun ini, usaha Jakim ini adalah untuk memartabatkan media berunsur Islam di negara kita.

Semoga penerima anugerah sama ada individu mahupun organisasi akan menjadikannya sebagai pemangkin untuk terus berjuang. Amin ya rabbal alamin.

RADIO JAKIM : Salam FM

Siaran Radio JAKIM "SALAM FM" - FM 91.1 (12am - 8am)

Tag Line : Menjana Minda

Masa Siaran : Jam 0000 Pagi Sehingga 0800 Pagi Setiap Hari
Konti Siaran : Studio 7 Berkongsi dengan Asyik FM dan Suara Islam
Frekunsi :
FM 91.1 MEGAHERTZ bagi kawasan LEMBAH KELANG
FM 102.5 MEGAHERTZ bagi kawasan PAHANG BARAT
FM 105.1 MEGAHERTZ bagi kawasan CAMERON HIGHLAND
GELOMBANG PENDEK KEBANGSAAN (GPK)
SW 6070 KILOHERTZ
GELOMBANG PENDEK SW 9750 KHZ 31 METER
SW 9750 KHZ 48.58 METER
Objektif :
1. Melebarkan lagi program dakwah melalui radio dalam Bahasa
Malaysia dengan program-program yang berinformasi dan ilmiah;
2. Untuk memberi pilihan kepada pendengar mendapat INPUT dakwah secara interaktif pada waktu awal pagi;
3. Untuk memastikan ajaran Islam tersebar luas kepada seluruh masyarakat bagi melahirkan ummah yang progresif dan berakhlak mulia.

IKIMfm : Radio Islam Pertama Negara

IKIM.fm merupakan salah satu saluran radio yang terdapat di Malaysia. IKIM ialah singkatan kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia, iaitu pengendali stesen radio ini. Ia dipancarkan menggunakan frekuensi 91.5 MHz (di Lembah Klang) dan dipancarkan ke seluruh negara.

IKIMfm dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri ketika itu, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2001. Frekuensi IKIM.fm dahulunya digunakan oleh RFM (kini Red FM), sebelum bertukar ke 104.9 MHz (di Lembah Klang), pada awal tahun 2000.

Ia juga boleh diikuti melalui internet di laman webnya. Rancangan dan isi kandungannya adalah bercorak agama Islam. Stesen radio ini beroperasi selama 24 jam.

Sekitar 95% programnya dipersembahkan dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Anggaran rasmi oleh pihak The Nielsen Company (Malaysia), sebuah syarikat pengkaji (survey) antarabangsa terhadap semua radio-radio di Malaysia dalam kajian terbaru mereka sepertimana yang dilaporkan dalam Gelombang 2, 2010 menunjukkan sekitar 786,000 pendengar di Semenanjung Malaysia mengikuti radio Islami ini.

Astro Oasis - Stesen Televisyen Islam Pertama Swasta

Saluran Astro 106

Saluran Gaya Hidup Muslim - Saluran gaya hidup khas untuk para Muslimin dan Muslimat yang mengandungi program-program pendidikan, hiburan dan dokumentari yang berunsurkan Islam.

USTAZAH PILIHAN DI ASTRO OASIS

Ustazah Pilihan ialah sebuah program realiti terbaru dari Astro Oasis yang memaparkan pencarian Muslimah – Muslimah yang boleh dibentuk untuk menjadi seorang Ikon Muslimah yang sejati. Ikon Muslimah yang dimaksudkan merangkumi segala aspek kehidupan dari seorang pendidik, pembimbing dan juga pemimpin masyarakat. Ustazah Pilihan akan memaparkan bagaimana pentingnya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malahan lebih dari itu, Muslimah dilihat sebagai pendidik, pembentuk, pemimpin generasi akan datang,serta perlu mempunyai kebolehan berkomunikasi, pengucapan, pertuturan serta dayafikir yang cukup baik dan matang.
Menerusi konsep program Ustazah Pilihan ini, sebanyak 10 Muslimah terpilih menerusi beberapa siri ujibakat di beberapa negeri, akan ditempatkan di sebuah lokasi tertentu di ibukota untuk menjalani kursus melalui silabus yang telah ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan ilmu mereka dari aspek keugamaan yang juga merangkumi hal ehwal yang lain seperti teknologi, kewangan, kemasyarakatan, kekeluargaan dan lain-lain.

Setiap minggu, mereka akan diberi tugasan tertentu selama lapan minggu yang berlandaskan format Piramid Tangga Kehidupan. Tugasan-tugasan ini dipilih berdasarkan isu – isu semasa yang dihadapi oleh wanita masa kini. Pendekata, isu – isu ini adalah 'benar' (real) dan relevan dengan realiti wanita di zaman moden.

Setiap minggu, mereka akan dipecahkan kepada kumpulan dan akan dibimbing/dipantau oleh para Mursyidah yang akan menerima nasihat dan pantauan keseluruhan dari Mudirah (Pengetua).

Markah akan diberi kepada kumpulan dan juga individu dalam kumpulan mengikut hasil kerja berkumpulan yang telah mereka laksanakan setiap minggu. Kumpulan terbaik akan menerima ganjaran setiap minggu yang berupa galakan-galakan yang akan memotivasikan mereka lagi, manakala kumpulan yang satu lagi akan diberi tugasan tambahan yang juga boleh menmabhakan motivasi serta keyakinan untuk menjadi lebih baik lagi di tugasan akan datang.

IMAM MUDA DI ASTRO OASIS

Imam Muda adalah sebuah program siri pencarian mengenai remaja lelaki Islam yang dipilih menerusi uji bakat yang dihimpunkan secara berkumpulan di sebuah asrama selama 3 bulan mempelajari dan memahami tentang hal-hal keagamaan dan kempimpinan Islam dari pemimpin Agama dan pendidik yang bertauliah dan berpengalaman.

Imam Muda adalah sebuah konsep siri pencarian televisyen yang dihasilkan oleh Astro bertujuan mencari IMAM muda yang terbaik di Malaysia. Program Imam Muda bertujuan mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintergriti dan kredibiliti bagi memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai Imam malah sebagai pemimpin dalam masyarakat.

Selain itu, program Imam Muda bertujuan memartabatkan status Imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul seseorang Imam di zaman yang penuh cabaran ini.

Media Televisyen Islam Pertama Negara TVALHIJRAH

TV AlHijrah merupakan saluran televisyen digital Islam pertama di Malaysia. Ia beroperasi dari Pusat Islam di Kuala Lumpur. Ia dimiliki oleh Jabatan Perdana Menteri di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Jamil Khir Baharom.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda iaitu bekas Ketua Pegawai Operasi TV9 milik Media Prima.

TV AlHijrah akan mula bersiaran di lima kawasan iaitu Lembah Klang, Terengganu, Mersing, Sabah dan Sarawak, menemui penonton mulai 1 Disember 2010. Ia memulakan siaran ujian pada 1 November 2010 dengan waktu siaran bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam dan pada jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

TV AlHijrah dapat ditonton menerusi Astro saluran 114 bermula 1 Jun 2011. Siarannya telah dipanjangkan dari 12 tengah hari hingga 12 malam pada Isnin hingga Khamis manakala bersiaran dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Siaran percuma yang bertemakan "Segalanya Bermula di Sini" itu disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja berusia 4 hingga 17 tahun serta golongan muda dan berkeluarga berusia 18 hingga 39 tahun.

Sebanyak 60 peratus kandungan siaran permulaan televisyen itu adalah terbitan tempatan manakala selebihnya adalah kandungan asing dari negara-negara seperti Iran, Indonesia, Turki,Palestin dan Belanda. Sejumlah 30 peratus daripada kandungan tempatan diterbitkan sendiri TV AlHijrah.

Pada 1 Januari 2012, TV Alhijrah mula menambah jumlah masa penyiaran bermula dari 6 pagi berbanding dahulu iaitu bermula 12 tengah hari dengan beberapa lagi rancangan tambahan bagi memuaskan hati penonton setia mereka.

Frekuensi

Lembah Klang - 743.25 MHz

Terengganu - 631.25 MHz

Johor Timur, Kepulauan Johor & Selatan Pahang (Menara Transmisi Bukit Tinggi, Mersing)- 623.25 MHz

Sarawak - 599.25 MHz

Sabah - 599.25 MHz

Pahang (Pahang Timur) - Pemancar di Bukit Pelindung, Kuantan Saluran 22 Frekeunsi UHF 475.25 Mhz